Wednesday 16 December 2015

Jasa Ibu Tidak Ternilai Harganya yang Tidak Mungkin Dapat Diganti dengan Apa-Apa Sahaja

Seorang ibu merupakan seorang yang sangat berjasa kepada kita. Dialah yang berkorban nyawa untuk melahirkan kita ke dunia ini. Apabila sudah dilahirkan, anak-anak pula dijaga makan minumnya, mandi, kerenah dan sebagainya. Terlalu penat untuk menjadi seorang ibu yang menjaga anak dari kecil sehinggalah dewasa. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa dikatakan syurga dibawah telapak kaki ibu. Anak-anak perlulah tidak menderhaka kepada ibu. Dengarlah kata-kata ibu dan bapa kerana merekalah orang yang mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Pernahkan anda berfikir sesusah ibu menjaga anak-anaknya tetapi mampukan seorang anak menjaga seorang ibu yang sudah tua suatu hari nanti? Pada hari ini, kita sering mendengar rintihan seorang ibu dan bapa yang dihantar ke rumah orang tua dan dibiarkannya mereka menjadi peminta sedekah. Dimanakah sifat-sifat keperimanusiaan di dalam diri anak-anak? Kita tidak boleh sama sekali memberi layanan sebegitu kepada mereka. Jaga, hormati dan sayangi mereka sebagaimana mereka berjasa kepada kita suatu ketika dahulu. Tiada satu agamapun yang menggalakkan kita melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang tua. Ingatlah, Tuhan akan membalas apa yang kita lakukan kepada mereka.

Sebahagian ibu bukan sahaja dirumah, malah mereka juga mencari nafkah di luar terutamanya menggantikan bapa yang tidak mampu memberikan nafkah sepenuhnya terhadap anak-anak. Demi menyekolahkan anak-anak mereka sanggup membuat apa sahaja. Sebagai contoh, menjual nasi lemak di awal pagi, upah mengasuh, menjadi seorang guru yang mengajar di sekolah dan sebagainya. Cuba bayangkan betapa penatnya seorang ibu yang menguruskan rumah, anak-anak, makan minum, dan bekerja di luar rumah. Oleh itu, jangan membantah kata-kata ibu kerana beliau inginkan yang terbaik untuk anak-anak.

Kisah Kampungku

Kampung saya bernama Kampung Siam yang terletak di Sungai Karangan, Kulim. Kampung saya hanya mempunyai 18 buah rumah yang hanya dihuni oleh masyarakat Siam. Kampung saya tidak mempunyai banyak rumah kerana sebahagian daripada anak-anak kampung telah menetap di bandar dan bekerja di sana. Hanya sebahagian daripada anak desa yang bekerja di kampung seperti berkebun, sawah padi, menoreh getah, menguruskan ladang kelapa sawit dan sebagainya. Ada juga yang bekerja di bandar dan berulang alik dari kampung ke bandar.

Bagi saya, suasana kampung sangat mendamaikan kerana jauh dari bandar yang bising dengan pelbagai bunyi kenderaan, pembinaan dan sebagainya. Masyarakat kampung juga saling mengenali jiran masing-masing dan mengamalkan silatulrahim berbanding masyarakat bandar. Mereka juga mengamalkan sifat saling bantu-membantu dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kampung saya mempunyai salasilah sejarahnya yang tersendiri. Berdasarkan cerita nenek, dahulunya hanya sepasang pasangan Siam yang tinggal di kawasan hutan. Mereka adalah nenek moyang keturunan saya. Pada masa itu, kawasan kampung saya hanya dipenuhi pokok-pokok tanpa sebarang kemudahan jalan tar, air, elektrik dan sebagainya. Dan lama-kelamaan apabila pasangan itu beranak-pinak dan mempunyai cucu cicit, kawasan itu telah membentuk beberapa kelompok rumah di sekitarnya yang seterusnya menjadi kampung. Oleh itu, boleh saya katakan bahawa warga kampung saya merupakan sanak saudara saya sendiri.  


Jika diberi pilihan, saya lebih memilih untuk tinggal di kampung berbanding tinggal di bandar. Ini kerana suasana di kampung yang aman damai amat menenangkan jiwa dan jauh dari kesibukan ibu kota. Oleh itu, tidak hairanlah ada di antara mereka yang sanggup berulang alik dari rumah yang berada di kampung ke tempat kerja mereka. 

Kerjaya Idaman Masa Hadapan

Setelah tamat pengajian, saya akan memilih kerjaya yang berkaitan dengan jurusan saya iaitu Pengurusan Pelancongan ataupun subjek minor yang saya ambil di universiti iaitu Pengurusan Hospitaliti. Saya akan memilih agensi kerajaan atau swasta yang membolehkan saya berurusan dengan pelanggan kerana saya sangat suka untuk melihat gelagat manusia yang bermacam-macam dan bercakap dengan mereka kerana kerjaya sebegini memberi kepuasan kepada saya.

Antara kerjaya yang saya rasa sesuai untuk saya adalah bekerja di lapangan terbang sebagai agen perkhidmatan pelanggan dimana pelancong akan datang bertanya kepada saya apa-apa sahaja yang ingin mereka ketahui. Selain daripada itu, saya juga ingin menjadi seorang pemandu pelancong kerana saya boleh berkomunikasi dengan pelancong tempatan dan antarabangsa. Berkomunikasi dan juga melancong sambil bekerja merupakan tugas yang sangat menenangkan dan merupakan minat saya. Ia juga merupakan satu keistimewaan kerana saya boleh bekerja sambil melancong secara percuma. Namun demikian, sebelum menjadi seorang pemandu pelancong, saya perlu mengambil kursus pemandu pelancong selama 6 bulan.


Selain daripada itu, saya juga berminat untuk bekerja di resort. Resort tempat saya ingin bekerja adalah yang berdekatan dengan pantai dan mewah. Apabila selesai bekerja, berjalan-jalan di tepi pantai, menjalankan aktiviti parasailing, berkelah dan sebagainya amat menenangkan dan dapat menghilangkan stres. Contohnya, Resort Le Meridien yang berdekatan dengan Pantai Patong di Phuket yang mewah dan berdekatan dengan pantai yang sangat indah dan cantik. 

Hargai, Hormati dan Sayangi Wanita. Hentikan Keganasan Terhadap Wanita.

Wanita merupakan ciptaan Ilahi yang cukup berharga. Wanitalah yang melahirkan zuriat, berkorban untuk anak-anak dan keluarga. Ada juga wanita yang bekerja untuk menyara keluarga dan apabila pulang ke rumah, beliau terpaksa menguruskan hal rumah dan keluarganya. Betapa pentingnya pengorbanan yang dicurahkan oleh seorang wanita.

Namun pada hari ini tidak semua menghargai dan menghormati seorang wanita, malah berlaku isu-isu keganasan terhadap wanita. Saban hari kedengaran kes wanita ditendang terajang, dicederakan, dirogol, malah ada juga yang dibunuh. Lebih menyedihkan lagi, keganasan itu bukan dilakukan oleh orang lain tetapi kebanyakannya orang terdekat dengan mangsa seperti suami, teman lelaki, saudara mara dan sebagainya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, isu-isu keganasan terhadap wanita menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Ini mungkin kerana wanita dianggap lemah dan barangkali diambil kesempatan oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan. Statistik kes tahun ini amat membimbangkan apabila difahamkan sudah mencatatkan 12 peratus peningkatan kes terhadap wanita dalam tempoh empat bulan pertama. Sebanyak 2,576 kes sudah dilaporkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding dengan 2,295 kes bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Statistik ini dicatat daripada mereka yang melapor kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes keganasan yang tidak dilaporkan. Sebagai contoh, keganasan yang dilakukan oleh suami wanita itu sendiri kerana bimbang hilang tepat bergantung. Oleh itu, mereka terpaksa bertahan dan menyembunyikan kes ini daripada diketahui oleh pihak berkuasa.

Setiap keganasan terhadap wanita sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa. Sekecil manapun kes tersebut, ia mesti ditangani secara bersepadu demi memartabatkan maruah kaum wanita. Selagi wanita terus berdiam diri, pelaku akan lebih berani dan bermaharajalela sehingga mungkin sampai ke tahap yang lebih dahsyat lagi. Wanita yang menjadi mangsa keganasan ini perlu tampil berani membela diri dan maruah mereka.
           

Kerajaan telah melakukan pelbagai tindakan demi membanteras kes-kes keganasan terhadap wanita ini. Pelbagai kempen telah diadakan oleh kementerian dan agensi-agensi tertentu untuk menghentikan keganasan terhadap wanita tetapi masih tidak mencapai matlamat yang diharapkan. Kerajaan perlu mengetatkan lagi undang-undang supaya pelaku keganasan ini dijatuhkan hukuman yang lebih berat supaya mereka sedar dan takut untuk melakukannya.  

Semangat Sehati Sejiwa Pencetus 1 Malaysia Harmoni

'Sehati Sejiwa' yang merupakan tema kemerdekaan Malaysia yang ke-58 melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia tidak kira dimana mereka berada. 'Sehati Sejiwa' juga turut membawa maksud bersama membantu antara satu sama lain jika sesebuah negeri mengalami malapetaka. Tema tersebut dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015 bertemakan 'Sehati Sejiwa' mampu mengerak dan menyemarakkan perasaan kasih sayang serta hormat menghormati di antara kita. Ia akan meneguhkan lagi semangat patriotisme yang menjadi tonggak dan tiang seri keharmonian dan perpaduan bangsa Malaysia. Semangat 'Sehati Sejiwa' rakyat Malaysia juga dapat dirasai contohnya gempa bumi di Sabah dan bencana alam seperti banjir besar yang berlaku di negeri-negeri Semenanjung baru-baru ini turut dirasai dan terkena tempiasnya oleh seluruh rakyat Malaysia.


'Sehati Sejiwa' adalah cerminan kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat Malaysia. Kesedaran 'Sehati Sejiwa' setiap lapisan masyarakat Malaysia akan terus menyatukan kita tanpa mengira garis sempadan nautika lautan, susur galur keturunan, kepercayaan, adat resam dan negeri kelahiran.