Kampung saya bernama
Kampung Siam yang terletak di Sungai Karangan, Kulim. Kampung saya hanya
mempunyai 18 buah rumah yang hanya dihuni oleh masyarakat Siam. Kampung saya tidak
mempunyai banyak rumah kerana sebahagian daripada anak-anak kampung telah
menetap di bandar dan bekerja di sana. Hanya sebahagian daripada anak desa yang
bekerja di kampung seperti berkebun, sawah padi, menoreh getah, menguruskan
ladang kelapa sawit dan sebagainya. Ada juga yang bekerja di bandar dan
berulang alik dari kampung ke bandar.
Bagi saya, suasana kampung
sangat mendamaikan kerana jauh dari bandar yang bising dengan pelbagai bunyi
kenderaan, pembinaan dan sebagainya. Masyarakat kampung juga saling mengenali
jiran masing-masing dan mengamalkan silatulrahim berbanding masyarakat bandar.
Mereka juga mengamalkan sifat saling bantu-membantu dan saling menghormati
antara satu sama lain.
Kampung saya mempunyai
salasilah sejarahnya yang tersendiri. Berdasarkan cerita nenek, dahulunya hanya
sepasang pasangan Siam yang tinggal di kawasan hutan. Mereka adalah nenek
moyang keturunan saya. Pada masa itu, kawasan kampung saya hanya dipenuhi
pokok-pokok tanpa sebarang kemudahan jalan tar, air, elektrik dan sebagainya.
Dan lama-kelamaan apabila pasangan itu beranak-pinak dan mempunyai cucu cicit,
kawasan itu telah membentuk beberapa kelompok rumah di sekitarnya yang
seterusnya menjadi kampung. Oleh itu, boleh saya katakan bahawa warga kampung
saya merupakan sanak saudara saya sendiri.
Jika diberi pilihan, saya
lebih memilih untuk tinggal di kampung berbanding tinggal di bandar. Ini kerana
suasana di kampung yang aman damai amat menenangkan jiwa dan jauh dari
kesibukan ibu kota. Oleh itu, tidak hairanlah ada di antara mereka yang sanggup
berulang alik dari rumah yang berada di kampung ke tempat kerja mereka.
No comments:
Post a Comment